Blogmalaysia.com

BlogMalaysia.com

Saturday, August 13, 2011

UMP Lancar ICT Business Centre Tingkat Pengetahuan IT


Kuantan, 28 Julai - Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Prof. Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim semalam melancarkan ICT Business Centre sebagai usaha meningkatkan perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat (IT) untuk masyarakat setempat.
Dengan penubuhan pusat ini UMP akan terus memacu kecemerlangan universiti dalam bidang teknologi maklumat sebagai salah satu inisiatif UMP untuk meletakkan universiti ini di persada antarabangsa.
Dato’ Daing berkata, penubuhan ICT Business Centre ini akan mengkomersialkan produk dan perkhidmatan ICT termasuk semua sumber yang ada di Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (PTMK) dan Fakulti Sistem Komputer dan Kejuruteraan Perisian (FSKKP).
Selain itu, pusat ini akan dapat melaksanakan pencapaian Pelan Strategik UMP dalam merangka bidang keberhasilan utama universiti bagi menjana kelestarian kewangan.
“UMP mempunyai tenaga pakar IT berpengalaman lebih 10 tahun dan usaha ini membolehkannya berkongsi ilmu dan kemahiran dengan organisasi lain khususnya institusi pendidikan dalam dan luar Negara,”
“Sumber ICT ini termasuk pelbagai jenis server, jaringan (network), CCTV dan pelbagai peralatan IT yang terdapat di UMP,” katanya semasa merasmikan majlis pembukaan ICT Business Centre di Dewan Astaka, UMP.
Beliau juga mengharapkan penubuhan pusat ini akan merealisasikan hasrat universiti bagi menjana pendapatan universiti selaras dengan Pelan Stategik UMP 2011-2015.
Di antara perkhimatan yang ditawarkan termasuklah khidmat konsultansi dan produk ICT kepada organisasi luar melibatkan IPT, pusat latihan dan jabatan kerajaan serta menjayakan konsep ‘outsourcing’ yang diperkenalkan Kerajaan.

No comments: